Thursday, July 10, 2008

Lebih 18 tahun pemimpin Umno Kelantan gigit jari

"Selagi Tok Guru Nik Aziz mengetuai kerajaan Kelantan, pemimpin Umno usah bermimpi," inilah kata-kata yang sering kita dengari. Sejak 18 tahun lalu, ungkapan itu tidak muak-muak diluahkan.

Ada pihak berhujah ia sengaja digembar gemburkan pemimpin Umno. Persoalannya di sini, benarkah telahan yang dibuat itu. Kalau dirujuk kepada pengalaman 18 tahun sejak 1990, ungkapan tersebut ada kebenarannya.

"Namun orang PAS perlu lebih berhati-hati kerana ia adalah strategi musuh bagi melemahkan perjuangan PAS. Apabila tidak ada tok guru bermakna PAS sudah tidak relevan lagi di Kelantan," kata bekas pemimpin KeADILan Tanah Merah.

Hujah pemimpin terbabit ada asasnya. Sejak 1990 sehingga sekarang sudah lima kali Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat mengepalai PAS di Kelantan dalam medan pilihan raya umum.

Semuanya itu berjaya menjulang nama Menteri Besar terbabit. Sebelum pilihan raya umum 1990, rakyat Kelantan dan penyokong PAS hanya mengenalinya sebagai Ustaz Nik Aziz.

Namun, selepas menduduki kerusi Menteri Besar gelaran kemudian diubah, setaraf dengan kedudukannya. Bagi rakyat Kelantan gelaran ustaz dan tok guru jauh bezanya.

Tok Guru lebih dirujuk kepada alimnya dan keramat yang dimiliki. Manakala ustaz apabila seseorang menamat pengajian dalam bidang agama.

Lebih-lebih lagi kembali dari Timur Tengah.

Dalam ukuran lain, ustaz juga terdapat dalam Umno. Namun untuk menggunakan title tok guru, mungkin tidak sesuai.

Ketika aju persoalan kepada Menteri Besar benarkah tanpanya PAS Kelantan akan kecundang. Lantas beliau menjawab, "ketika Dato' Asri Muda bersama PAS, ramai berpendapat tanpanya PAS akan hilang sokongan.

"Namun setelah Asri berjinak dengan Umno, sebaliknya PAS terus kekal dan pengaruhnya makin melonjak," kata Tok Guru Nik Aziz.

Biar pun sejarah mencatat Tok Guru Nik Aziz gemilang dalam lima pilihan raya umum, namun tidak kurangnya dengan kegagalan dalam pilihan raya kecil.

PAS dan rakan gabungannya pernah tewas pada pilihan raya kecil di Semerak dan Pengkalan Pasir. Namun berjaya dalam tiga lagi pilihan raya kecil iaitu di Sungai Pinang dan Limbongan serta Pulai Chondong.

PAS juga hampir kecundang pada pilihan raya umum 2004.

"Pasang surut dalam perjuangan sudah menjadi perkara biasa. Adat bertanding pasti akan ada yang kalah atau menang. Begitu juga PAS ketika di bawah pimpinan Tok Guru Nik Aziz," kata Adun Gaal, Dr Nik Mazian Nik Mohamad.

Apakah petuanya sehingga PAS Kelantan berjaya mempertahankan kerajaan negeri dalam tempoh begitu lama. Sedangkan pemimpin Umno pada awal 1990-an mendakwa kerajaan Angkatan Perpaduan Ummah hanya mampu bertahan tiga bulan.

Sejak 18 tahun lalu di bawah dua Perdana Menteri, Umno dan Barisan Nasional terus menggigit jari di Kelantan. Tun Dr Mahathir Mohamad dan Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi gagal mencuri hati rakyat Serambi Makkah.

Biar pun jenuh benar kenyataan mahu merampas Kelantan dikeluarkan, namun hampir dua dekad ia gagal berpijak di alam nyata.

Bagi Adun Dabong, Arifabillah Ibrahim aura kejayaan yang banyak dirintis di Kelantan sedikit sebanyak menyumbang kepada kebangkitan Pakatan Rakyat pada pilihan raya umum lalu.

"Di sini patut dirakam ucapan tahniah kepada media oposisi seperti Harakah, Siasah dan terbaru Wasilah serta internet yang banyak membantu menyebarkan maklumat perubahan di Kelantan.

"Manakala media massa pro-Umno juga ada peranannya. Pendedahan secara keterlaluan menyebabkan rakyat mulai muak dan keyakinan kepada media terbabit makin merosot," ujarnya.

Maka apakah resepi kejayaan yang mampu dikongsi bersama rakyat Malaysia, lebih-lebih lagi negeri Pakatan.

Ia bermula dengan agenda yang mudah. Melaksanakan dasar berjimat cermat dalam pengurusan kewangan.

Falsafah yang sering diterapkan iaitu berjimat jangan sampai kedekut, belanja jangan sampai boros. Mengambil kira aspek itu juga kerajaan negeri memperkenalkan konsep taawun (gotong royong).

Pada peringkat awal usia kerajaan Angkatan, banyak projek pembinaan masjid, jambatan, jalan kampung dan rumah penduduk miskin dilaksanakan secara gotong royong. Malangnya sekarang sudah jarang kedengaran lagi.

Selain itu memindahkan simpanan tetap (fixed deposit) ke Bank Islam bagi mengelakkan unsur riba. Menghapuskan tender runding yang menjadi amalan kerajaan BN sebelumnya.

Mengembalikan jawatan Yang Dipertua Majlis Daerah kepada ketua jajahan, sedangkan sebelum itu didominasi pemimpin Umno. Ketua Jajahan juga diberi kuasa meluluskan hak milik tanah bagi keluasan kurang daripada 10 ekar.

Dan Kelantan juga dianggap negeri pertama yang menyediakan Proton Perdana V6 kepada ketua-ketua jajahan. Ia berlaku sejak dua tahun lalu.

Kerajaan negeri juga melantik penghulu di kalangan penduduk bukan Islam. Menaikkan elaun penghulu dan guru-guru sekolah Yayasan Islam Kelantan.

Tidak lama lagi penghulu di Kelantan akan menerima elaun sebanyak RM600 sebulan, berbanding sekarang RM400. Kelantan juga negeri pertama melantik penghulu di kalangan wanita. Sekarang terdapat 64 penghulu wanita termasuk dua orang Tionhua.

Kelantan juga negeri pertama melaksanakan cuti mingguan dua hari yang bermula 1 Januari 1996, kemudian diikuti kerajaan PAS Terengganu pada 1999.

Dari aspek kerohaniah diamalkan peraturan memulakan mesyuarat dan majlis dengan bacaan surah Al Fatihah dan menutupnya dengan Tasbih Kafarah serta Surah Al Asr.

Pada bulan Ramadan kakitangan kerajaan negeri dibenarkan balik jam 3.30 petang. Unit Dakwah Halaqat juga diwujudkan bagi menyemarakkan syiar agama di kampung-kampung.

Manakala premis-premis judi dihapus mulai 1 Januari 1991 dan menyusun semula penjualan arak di kedai-kedai milik peniaga bukan Islam.

Mengharamkan konsert rock, menora, makyong, wayang kulit dan permainan-permainan yang berunsur syirik. Kumpulan nasyid perempuan hanya dibenarkan membuat persembahan terbuka bagi yang berusia di bawah 15 tahun.

Penggunaan gambar-gambar wanita di papan tanda juga ditegah. Kerajaan negeri juga mengambil tindakan drastik dengan menghapuskan lesen beca.

"Menjadikan Kelantan negeri contoh kepada kerajaan negeri-negeri lain hatta kepada Kerajaan Pusat, seperti dalam pelaksanaan syariat Islam dan sistem kewangan Islam," kata Menteri Besar.

Kini model pentadbiran negeri berkebajikan sudah ada. Empat lagi negeri Pakatan Rakyat sudi-sudilah mengintainya

0 comments: